Sunday, March 17, 2013 | By: Mohamad Hafiz

Ketelitian Luar Biasa Imam Bukhari

  


        Mengembara beribu-ribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari, dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat ketara walaupun umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari terpaksa bermusafir sejauh kira-kira 8,000 kilometer hanya untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja.

Walau bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring hadis-hadis yang diterimanya sebelum mengklasifikasikan hadis-hadis tersebut sebagai hadis sahih.

  Suatu ketika, beliau telah pergi ke rumah seorang perawi hadis. Beliau melihat orang berkenaan sedang menabur sesuatu kepada binatang ternakannya. Rupa-rupanya dia hanya menabur pasir untuk mengumpan haiwan itu supaya mendekatinya.

  Melihat kepada perilaku dan perbuatan orang tersebut, maka terdetik di hati Imam Bukhari, "Kalaulah orang ini boleh berlaku tidak jujur pada haiwan, nescaya dia juga boleh berlaku tidak jujur dengan ilmunya." Lalu beliau sekadar berjumpa dengan orang itu tetapi tidak mengambil hadis daripadanya.

  Walau bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima hadis-hadis yang diragui perawinya, Imam Bukhari tidak akan menyebut-nyebut keaiban perawi-perawinya, apatah lagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya akan mengatakan, "Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan untuk diakui sebagai hadis sahih" atau "Hadis ini tidak dipakai orang".

  Allahu akbar, begitu indah sekali iman dan akhlak orang-orang soleh yang sentiasa bertaqwa kepada Tuhannya. Semoga kita sama-sama dapat mengambil ‘ibrah melalui kisah yang serba ringkas ini, Insya-Allah~ ^_^

Visit also ( http://hamassyujaiy.blogspot.com )

0 comments:

Post a Comment